share_log

PR1MA Bekerjasama Dengan CelcomDigi Untuk Memodenkan Rumah Mampu Milik Dengan Penyediaan Rangkaian Sambungan Berkelajuan Tinggi Dan Bandar Pintar Untuk Rakyat Malaysia

CelcomDigi ·  Oct 7 12:00

PETALING JAYA, 7 Oktober 2024 – CelcomDigi Berhad ("CelcomDigi") dan Perbadanan PR1MA Malaysia ("PR1MA") hari ini mengumumkan kerjasama untuk mentransformasikan rumah PR1MA dan pembangunan komersial dengan penyelesaian bandar pintar, yang dikuasakan oleh rangkaian terluas dan terpantas di Malaysia. Kerjasama ini menekankan komitmen bersama untuk meningkatkan sambungan, memupuk keterangkuman digital, dan memperbaiki kualiti hidup pemilik rumah PR1MA dan komuniti mereka.

Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara CelcomDigi dan anak syarikat milik penuh PR1MA, PR1MA Communications Sdn Bhd, kedua-dua pihak merancang untuk bekerjasama bagi menyediakan penyelesaian gentian optik ke rumah (FTTH) dan akses tanpa wayar tetap (FWA) kepada projek PR1MA. MoU ini juga merangkumi pelaksanaan penyelesaian rangkaian berpusat yang diuruskan dari satu pusat data, yang akan membolehkan pemantauan penggunaan lebar jalur secara masa nyata dan menyediakan pengalaman digital lancar pada kos yang berpatutan.

Selain itu, kedua-dua pihak sedang meneroka peluang untuk menawarkan pakej istimewa mudah alih dan jalur lebar, yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan digital komuniti PR1MA, menjadikan sambungan rangkaian berkualiti lebih mudah diakses dan mampu milik.

Penyelesaian sambungan digital bersepadu ini merupakan asas untuk kedua-dua pihak meneroka pembangunan ciri bandar pintar, seperti sistem keselamatan dan pengawasan, pengurusan tenaga yang cekap, dan pengurusan lalu lintas berasaskan data, yang semuanya meningkatkan keselamatan, keselesaan, dan kelestarian bagi komuniti PR1MA.

Kerjasama ini juga menyokong inisiatif Kerajaan dalam membangunkan bandar pintar serta memperkukuhkan penggunaan teknologi digital dan rangkaian pintar di peringkat nasional. PR1MA turut mengambil langkah dalam mendukung aspirasi ini dengan mengutamakan pembangunan rumah pintar dalam projek-projeknya, termasuk system pengurusan tenaga dan keselamatan, yang menambah nilai kepada kediaman moden dan mesra alam.

"Kerjasama strategik dengan CelcomDigi ini merupakan satu langkah penting dalam usaha kami untuk menyediakan persekitaran tempat tinggal yang menyeluruh dan holistik kepada penduduk PR1MA. Dengan memanfaatkan penyelesaian teknologi terkini, kami berhasrat untuk meningkatkan bukan sahaja keselesaan dan kemudahan komuniti kami, tetapi keselamatan dan kesejahteraan semua penduduk juga. PR1MA amat teruja untuk meneroka usaha-usaha inovatif dalam mengintegrasikan teknologi bandar pintar ke dalam pembangunan sedia ada serta masa hadapan, memastikan pembangunan kami terus mampan dan inklusif. Matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan komuniti yang berdaya maju dan terhubung, yang secara signifikan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk PR1MA," kata YBhg. Datuk Seri Haji Mohd Nazri bin Md. Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Ahli Perbadanan, Perbadanan PR1MA Malaysia.

Datuk Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi berkata, "Kami berbesar hati dipilih oleh PR1MA untuk menyediakan sambungan digital terbaik dan penyelesaian inovatif yang penting dalam membolehkan kehidupan moden untuk komuniti PR1MA. Kerjasama ini membolehkan kemajuan teknologi diterokai oleh semua lapisan masyarakat untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada inovasi bandar pintar ini. Kami akan terus memperkukuh komitmen kami dalam mempercepatkan penerapan 5G, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maju dan selanjutnya menyokong transformasi negara ke arah masyarakat digital berdaya 5G-AI."

The above content is for informational or educational purposes only and does not constitute any investment advice related to Futu. Although we strive to ensure the truthfulness, accuracy, and originality of all such content, we cannot guarantee it.
    Write a comment