share_log

Ranhill Beri Akses Operasi Air Kepada YTL Power Di Johor

Ranhill ·  May 29 12:00

PETALING JAYA: Ranhill akan memberikan YTL Power akses kepada operasi air eksklusif di Johor yang membolehkannya memanfaatkan peluang dari Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan potensi permintaan dari pusat data Johor, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, MIDF Research percaya Ranhill Utilities adalah padanan strategik untuk YTL Power International Berhad kerana kedua-duanya beroperasi dalam perniagaan serupa iaitu air dan tenaga walaupun dengan skala serta kehadiran geografi berbeza.

"Kepakaran bersama dalam operasi air boleh memacu kecekapan perniagaan air Ranhill di Johor," kata firma itu.

Katanya, perjanjian itu memberikan akses kepada YTL Power ke pasaran elektrik Sabah, di mana Ranhill mengawal saham penjana tenaga bebas (IPP) terbesar yang diperkuatkan dengan Tenaga Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) 100 megawatt (MW) yang dijangka siap pada 2026.

"Pengambilalihan itu adalah positif bagi tempoh jangka pendek kepada jangka panjang untuk YTL Power secara keseluruhannya.

"Selain tu, katanya saranan beli kekal pada harga sasaran (TP) yang berasaskan SOP tidak berubah sebanyak RM6.35 sesaham," katanya.

Kelmarin, Subsidiari YTL Power International Bhd., SIPP Power Sdn. Bhd. membeli 405.18 juta saham atau 31.42 peratus kepentingan dalam Ranhill Utilities Bhd. pada RM405.18 juta atau 99.5 sen sesaham milik pemegang saham utamanya, Tan Sri Hamdan Mohamad.

Sementara itu, MIDF Research berkata, pegangan SIPP Power dalam Ranhill akan meningkat daripada 2.9 peratus kepada 34.3 peratus, manakala pegangan YTLP dalam Ranhill akhirnya akan meningkat daripada 21.8 peratus kepada 53.2 peratus.

"Pemerolehan oleh SIPP Power akan mencetuskan Tawaran Pengambilalihan Mandatori (MTO) untuk baki saham dalam Ranhill pada harga tawaran tunai yang sama iaitu 0.995 sen sesaham.

"Pengambilalihan SIPP Power bagi 31.4 peratus kepentingan Tan Sri Hamdan Mohamad dijangka selesai pada Jun, manakala MTO dijangka selesai menjelang suku ketiga. YTL Power berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Ranhill," katanya. – UTUSAN

The above content is for informational or educational purposes only and does not constitute any investment advice related to Futu. Although we strive to ensure the truthfulness, accuracy, and originality of all such content, we cannot guarantee it.
    Write a comment