share_log

IOIPG Rekod Hasil 9 Bulan RM2.16 Bilion

IOI Group ·  May 30 12:00

PETALING JAYA – IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mengumumkan hasil berjumlah RM2.16 billion untuk tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024 berakhir 31 Mac lalu.

Prestasi tersebut disumbangkan keputusan kukuh merentasi semua segmen perniagaan IOIPG, sebahagian daripadanya didorong penjualan tanah di Johor bernilai RM211.1 juta.

Segmen pelaburan hartanah mengekalkan prestasi cemerlang dengan pertumbuhan 21 peratus, manakala segmen hospitaliti dan riadah meningkat 13 peratus didorong sumbangan Moxy Putrajaya, hotel 480 bilik yang dibuka sebelum Tahun Baru Cina dan W Kuala Lumpur, hotel 150 bilik yang memasuki Kumpulan pada Februari lalu.

Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) menurun 50 peratus berbanding tempoh sama tahun kewangan 2023 kepada RM658.7 juta, daripada RM1.32 bilion.

Bagaimanapun selepas mengecualikan keuntungan nilai saksama, pembalikan inventori diturunkan nilai dan kerugian rosot nilai, PBT asas pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 adalah berjumlah RM688.5 juta, yang mana PBT tahun kewangan semasa adalah lapan peratus lebih rendah.

Kemerosotan PBT terutamanya disebabkan sumbangan lebih lemah daripada segmen pembangunan hartanah di China, yang mencatatkan jualan lebih rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng berkata, persekitaran operasi dalam dan luar negara dijangka terus mencabar.

"Namun begitu, kami akan terus mengukuhkan penawaran produk hartanah kami yang pelbagai di tiga negara (Malaysia, Singapura dan China), mengekalkan aliran pendapatan berulang daripada portfolio pelaburan hartanah sedia ada dan memanfaatkan prospek lebih baik dalam segmen hospitaliti dan riadah , yang menyediakan asas kukuh untuk pendapatan berterusan pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

The above content is for informational or educational purposes only and does not constitute any investment advice related to Futu. Although we strive to ensure the truthfulness, accuracy, and originality of all such content, we cannot guarantee it.
    Write a comment