share_log

IOI Properties Raih Pendapatan Sembilan Bulan RM2.16 Bilion

IOI Group ·  May 31 12:00

KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) meraih pendapatan berjumlah RM2.16 bilion bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024, dipacu keputusan lebih kukuh merentas semua segmen.

Dalam satu kenyataan, IOIPG berkata, prestasi kewangan juga disumbangkan sebahagiannya oleh penjualan tanah di Johor bernilai RM211.1 juta.

"Segmen pelaburan hartanah mengekalkan prestasi cemerlangnya dengan pertumbuhan yang membanggakan sebanyak 21 peratus.

"Segmen hospitaliti dan riadah juga meningkat sebanyak 13 peratus dipacu prestasi Moxy Putrajaya, sebuah hotel 480 bilik yang dibuka sebelum Tahun Baharu Cina dan W Kuala Lumpur dengan 150 bilik yang baru diperoleh pada Februari 2024," katanya.

Bagi tempoh dikaji, keuntungan sebelum cukai (PBT) IOIPG menurun sebanyak 50 peratus kepada RM658.7 juta berbanding RM1.32 bilion yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu.

IOIPG berkata, penurunan PBT disebabkan terutamanya oleh sumbangan yang lebih lemah daripada segmen pembangunan hartanah di Republik Rakyat China (PRC), yang mencatatkan jualan yang lebih rendah.

"Bagaimanapun, prestasi lemah segmen pembangunan hartanah kami diimbangi sebahagiannya oleh prestasi lebih kukuh bagi segmen pelaburan hartanah.

"Prestasi ini menunjukkan langkah IOIPG dalam strategi perniagaannya ketika ia mengharungi ketidaktentuan ekonomi global sambil mengekalkan kestabilan dalam semua segmen perniagaannya di Malaysia, Singapura dan PRC," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng, berkata keputusan kewangan yang membanggakan sepanjang tempoh pelaporan sembilan bulan TK2024 diperoleh di tengah-tengah persekitaran operasi dalam dan luar negara yang terus mencabar.

"Bagaimanapun, kami akan terus mengukuhkan penawaran produk hartanah yang pelbagai di tiga negara, mengekalkan aliran pendapatan berulang daripada portfolio pelaburan hartanah yang mantap dan memanfaatkan prospek yang lebih baik bagi segmen hospitaliti dan percutian kami yang menyediakan IOIPG asas yang lebih kukuh untuk meraih pendapatan yang mampan," katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan TK2024, segmen pembangunan hartanah IOIPG meraih jualan sebanyak RM1.59 bilion dengan projek tempatan menyumbang sebahagian besar jualan, berjumlah RM1.46 bilion atau 92 peratus.

Bagi tempoh dikaji, IOIPG telah melancarkan hartanah bernilai RM2.78 bilion.

The above content is for informational or educational purposes only and does not constitute any investment advice related to Futu. Although we strive to ensure the truthfulness, accuracy, and originality of all such content, we cannot guarantee it.
    Write a comment