share_log

SD Plantation Mengumumkan Hasrat Untuk Penjenamaan Semula Korporat

Sime Darby Plantation ·  Apr 30 12:00

Petaling Jaya, 30 April 2024 - Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation atau Syarikat) telah mengumumkan hasrat untuk menukar nama jenama Syarikat tersebut kepada SD Guthrie Berhad. Keputusan strategik tersebut diumumkan kepada Bursa Malaysia pada hari ini, bagi memaklumkan hasrat Syarikat berkenaan untuk mendapatkan kelulusan jenama baru tersebut daripada pemegang saham melalui satu mesyuarat agung luar biasa (EGM). Notis EGM akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Ini adalah satu perkembangan yang amat bermakna dalam sejarah 200 tahun syarikat ini, satu detik yang begitu penting bagi kami sebagai sebuah organisasi," kata Pengerusi SD Plantation, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani. "Dari pelbagai sudut yang berbeza, pencapaian dan kepimpinan syarikat ini dalam industri sawit cukup jelas, termasuklah dalam mengembangkan perniagaan hiliran kami menjadi satu penyumbang hasil utama. Sebagai pemilik hartanah di Malaysia, terdapat pelbagai lagi peluang untuk kami mencipta nilai bagi kepentingan para pemegang saham."

Keputusan penjenamaan semula SD Plantation dibuat berikutan perbincangan selama beberapa bulan yang lalu dengan pakar-pakar dalam bidang undang-undang, harta intelek dan identiti jenama. Syarikat tersebut akan memastikan agar semua kelulusan yang diperlukan bagi menyempurnakan penjenamaan semula tersebut dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.

"Kami percaya adalah menjadi hak prerogatif setiap syarikat besar yang bercita-cita mencipta pembangunan mampan, untuk memiliki dan menyelia jenama dan identitinya sendiri. Melalui penjenamaan semula kepada SD Guthrie, syarikat ini akan memperoleh kuasa penuh, bukan sahaja dalam menentukan halatuju identiti syarikat, malahan juga dalam meneroka pelbagai peluang demi kepentingan pemegang saham kami," kata Pengarah Urusan Kumpulan SD Plantation, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.

Jenama "Sime Darby" dimiliki dan diselia oleh Sime Darby Berhad, bekas syarikat induk SD Plantation. Sejak pengasingan dan penyenaraian SD Plantation lebih enam tahun yang lalu, syarikat tersebut telah beroperasi di bawah sistem pelesenan, tertakluk kepada syarat perjanjian pelesenan jenama dan tanda dagangan, serta membayar yuran tahunan untuk penggunaan jenama "Sime Darby". Keadaan ini merupakan satu kekangan yang besar terhadap keupayaan SD Plantation untuk membuat sebarang keputusan strategik berhubung kepentingan jenama dan perniagaannya.

Dengan mencadangkan "SD Guthrie" sebagai jenama baharu, Syarikat tersebut berhasrat untuk tampil sebagai perniagaan bersepadu sepenuhnya dalam industri sawit, di samping mengembangkan potensi perniagaannya melangkaui perladangan huluan. Jenama SD Guthrie, memberi penghormatan kepada sejarah Syarikat tersebut yang pada masa lalu pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan Sime Darby, serta susur galurnya lebih 200 tahun melalui salah seorang pengasas bernama Alexander Guthrie. Kisah penubuhan Guthrie adalah sejarah yang penuh dengan gambaran cita-cita, daya usaha, dan daya tahan pengasasnya serta para pemimpin Malaysia yang mengambil alih kepimpinan syarikat tersebut - nilai-nilai yang terus diterapkan sehingga ke hari ini.

SD Plantation bermula sebagai sebuah syarikat perdagangan di Singapura pada tahun 1821 dan dikenali sebagai Guthrie & Co. SD Plantation telah berkembang menjadi salah satu syarikat perladangan terbesar dunia, melalui pelbagai usaha pembangunan korporat.

"Komitmen syarikat kami adalah untuk menguruskan kemampanan dalam peniagaan, inovasi serta kualiti, agar selaras dengan skala, potensi dan kapasiti kami. Bagi tujuan tersebut, kami telah dan akan terus meneroka teknologi baharu serta melabur dalam penambahbaikan yang berterusan. Kami memahami perubahan keperluan dunia masa kini dan masa hadapan, dan berharap untuk terus menyumbang kepada masa depan yang mengujakan," kata Mohamad Helmy.

Sebarang pengumuman lanjut akan dibuat oleh SD Plantation sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting.

The above content is for informational or educational purposes only and does not constitute any investment advice related to Futu. Although we strive to ensure the truthfulness, accuracy, and originality of all such content, we cannot guarantee it.
    Write a comment